Sunday 11 March 2012

Wednesday 1 February 2012

Interlock

Suasana dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam hari itu langsung tidak menarik perhatian Velu. Dia hanya memandang segala di dalam kamar mahkamah dengan pandangan kosong. Dia tidak berminat untuk mengambil tahu hal dan kes orang lain. Dia hanya menunggu kesnya dipanggil. Satu penantian yang dirasakan terpanjang dalam hidupnya. Mahu tidak mahu dia terpaksa membatukan diri di galeri awam sambil matanya bagaikan mata ikan kering memandang batang tubuh yang silih berganti keluar-masuk dalam kandang tertuduh di perut mahkamah itu.

Semuanya kerana interlock! Sebelum ini dia tidak kisah dan tidak mahu ambil tahu perihal interlock, walaupun dia cukup arif apa itu interlock. Sudah berpuluh aduan dan sungutan yang diterimanya berkaitan interlock.Tetapi Velu hanya membiarkan sungutan dan aduan itu berlalu pergi begitu sahaja.

Ah! Dua-tiga hari diamlah mereka. Yang penting mereka dibayar gaji. Cukup tahun ada bonus! Bentak hatinya. Keras.

Tapi kali ini interlock betul-betul telah memberikan tekanan kepadanya. Interlock telah membuatkan dia terpaksa hadir ke mahkamah pada hari ini. Siapa mahu hadir di mahkamah untuk dibicarakan? Dibayar sepuluh ribu pun Velu tidak sanggup. Bahkan dia sanggup membayar untuk tidak perlu menghadirkan dirinya ke mahkamah. Tapi nasi sudah menjadi bubur. Sekarang ini, di sinilah Velu terpaksa duduk diam-diam, di galeri awam Mahkamah Sesyen Shah Alam, menunggu kesnya dipanggil dalam keadaan dia tidak mampu berbuat apa-apa selain diam membatu!

Beberapa malam yang lalu, Velu mengajak kawannya Rais keluar minum. Sebenarnya Velu ingin berkongsi masalah dengan Rais, kawan baik yang paling memahaminya itu. Mereka sama-sama tinggal sebilik semasa menuntut di Universiti Malaya dahulu. 

“Takkanlah kerana Interlok kamu kena dakwa di mahkamah?” Tanya Rais lagak terkejut apabila Velu memberitahu tentang saman yang diterimanya.

“Kau tak percaya?” Velu menjawab dengan menyoal balik.

“Ramai lagi orang yang hadir semasa demonstrasi membakar novel Interlok hari itu. Kenapa hanya engkau yang kena? Lagipun engkau hanya pergi ke situ untuk meramaikan orang sahaja. Tanda menyokong,” Rais berkata lagi dengan nada yang cukup tidak puas hati. Sedikit sebanyak sikap mengambil berat Rais terhadapnya membuatkan Velu terasa lapang dan selesa setelah berhari dia menjeruk rasa dengan isu interlock. Tetapi malang, Rais silap faham. Bukan Rais sahaja, ramai sudah orang yang tersilap faham apabila Velu memberitahu mereka tentang kes saman terhadapnya.

“Inilah silapnya demokrasi kita. Tak ada ruang untuk menyatakan pendapat langsung. Kau pun satulah Velu, yang engkau pergi turut serta dalam demonstrasi membakar Interlok hari tu siapa suruh? Biasanya engkau tak minat demo-demo ni. Lagi satu, engkau dah baca ke belum buku Interlok Abdullah Hussain tu?” daripada menyatakan rasa tak puas hati, nada Rais sudah bertukar menjadi semacam membebel pula. Velu rasa lebih baik dia menerangkan hal sebenar kepada Rais sebelum rakannya itu melalut lebih jauh lagi.

“Memang aku belum baca novel Interlok tu. Tapi bukan buku itu isunya”, kuat suara Velu.

“Kalau bukan Interlok, apa isu sebenarnya?” Tanya Rais kehairanan.

“Interlock,” jawab Velu.

“Dei macha.... Apa ni, sekejap Interlok, sekejap bukan Interlok, sekejap Interlok balik. Aku serius ni,” Rais tak sabar lagi dengan cakap Velu yang dirasakan semakin berbelit-belit.

“Bukan novel Interlok, tetapi interlock, interlock pada mesin power press di kilang aku. Sekarang ada faham?” Beritahu Velu sungguh-sungguh.

Velu yakin Rais dapat memahami apa yang dia sedang cuba sampaikan kerana mereka sama-sama belajar kejuruteraan mekanikal dahulu. Lagipun Rais sebagai seorang konsultan mekanikal dan elektrikal semestinya lebih afdal untuk memahami erti interlock daripadanya. Kalau itupun dia tidak faham, kelayakan Rais sebagai konsultan M&E boleh dipertikaikan. Itu fikir Velu.

“Mesin power press engkau tak ada interlock ke?” Tanya Rais terkejut. 

Gambar hiasan dari Google
Sememangnya sebagai seorang jurutera mekanikal dia faham sangat keperluan memasang interlock pada mesin power press. Mengikut The Free Online Dictionary, interlock bermaksud a mechanical device that prevents a component from functioning when another component is functioning or situated in a particular way. Secara umum dan kasarnya interlock ialah suatu peranti yang dipasang pada sesuatu mesin agar ianya dapat memberhentikan operasi mesin tersebut secara otomatik apabila sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan terjadi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

“Interlock inilah  yang paling penting untuk mesin power press engkau Velu,” kata Rais kesal. Velu akui kebenaran kata-kata Rais. 

Kilang yang Velu usahakan adalah kilang mengeluarkan sprocket iaitu gear basikal dan motosikal. Kepingan besi empat segi akan ditukar menjadi bentuk bulat bergigi dengan menggunakan mesin power press. Bentuk bulat bergigi ini dibuat dengan menghentakkan kepingan besi ini tepat dari atas dengan kekuatan beberapa ekor gajah bergantung kepada ketebalan kepingan besi.

Kemalangan yang berlaku adalah kerana semasa hentakan mesin power press ke bawah, tangan pekerja yang mengendali power press masih berada di dalam kawasan hentakan.  Sekiranya ini berlaku, alamat putus atau hancurlah tangan pekerja yang malang itu. Dan hari ini Velu berada di mahkamah kerana perkara ini telah berlaku di kilangnya.

“Kes no SA 63-12-2010, PP melawan Vadivelu Sprocket Industries Sdn. Bhd,” suara lantang jurubahasa mahkamah mengejutkan Velu daripada lamunannya. Dengan longlai Velu melangkah ke tepi kandang tertuduh dan berdiri tegak di situ. Perasaannya ketika itu tak terucapkan olehnya. Kalau boleh biarlah semuanya cepat berlalu.

Sebutan kes terhadap Velu dikendalikan oleh seorang pegawai JKKP yang bertindak sebagai pegawai pendakwa di bawah peruntukan Seksyen 377(b) Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan mana-mana pegawai kerajaan yang layak menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Pertuduhan dibacakan. Velu telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu gagal memastikan setakat yang praktik keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa mengendalikan mesin power press sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Jamil Bin Abdul Hamid.

Velu sungguh-sungguh kesal. Jamil adalah pekerjanya yang paling berkebolehan. Paling setia dan paling rajin. Semasa kilang itu mula-mula dibangunkan oleh Velu tiga belas tahun lalu, Jamil yang banyak membantunya. Jamillah yang bekerja sehingga lewat malam kerana terpaksa menyiapkan tempahan sprocket daripada pelanggan. Kadang-kadang Velu terpaksa berhutang gaji dengan Jamil kerana kesuntukan modal. Memang jasa Jamil telah banyak membantu membangunkan kilang Velu. Sekarang tangan Jamil sudah hancur dilenyek mesin power press. Jamil sudah hilang upaya. Mustahil Jamil dapat bekerja di situ lagi dengan tangan kanan sekerat siku. Rasa bersalah Velu semakin menebal apabila teringatkan anak-anak Jamil yang ramai dan isteri Jamil yang tidak bekerja. Pastinya mereka amat memerlukan tangan kanan Jamil yang telah hancur dibaham mesin power press itu untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Adakah kamu faham pertuduhan yang dibacakan?” Tanya jurubahasa mahkamah setelah selesai membacakan pertuduhan.

“Ya,” jawab Velu sambil menganggukkan kepala.

“Adakah kamu mengaku bersalah?” Tanya jurubahasa mahkamah lagi dengan matanya memandang tepat ke dalam mata Velu.

Memang Velu akui dialah yang bersalah. Sebelum ini dia tidak berasa begitu. Setelah apa yang terjadi ke atas Jamil, pekerja yang juga rakan karibnya, barulah dia sedar akan kesalahannya. Sebelum ini bukan power press di kilangnya tidak pernah memakan tangan orang. Seorang pekerja Bangladesh telah putus 2 inci jari telunjuknya setahun lepas. Tetapi Velu berjaya menyembunyikan dan mendiamkan kes tersebut. Pekerja Bangladesh itu dihantar pulang ke negaranya dan diberikan sedikit pampasan untuk menutup mulut. Selepas itu seorang gadis belasan tahun yang sedang menunggu keputusan SPM telah putus 2 jari kanan. Bersusah Velu membiayai kos perubatan gadis itu dan mempengaruhi gadis itu dan keluarganya supaya tidak melaporkan kemalangan itu ke pejabat JKKP. Jika dilaporkan juga, gadis itu yang akan mendapat susah kerana dia yang bekerja secara cuai dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak kilang. Itu kata-kata amaran Velu kepada gadis itu dan keluarganya yang tinggal melarat di sebuah estet. Memang senang memperdayakan orang miskin dan tidak berpelajaran. Apatah lagi bila dihulurkan kepada mereka sejumlah wang. Sekarang apabila memikirkan perkara itu, Velu ingin sahaja menyumpah dirinya sendiri.

“Adakah kamu mengaku salah?” Suara jurubahasa mahkamah lebih lantang kali ini apabila Velu diam membisu.

Velu mengangguk.

“Ya. Saya mengaku,” itu sahaja yang Velu termampu ucapkan. Matanya memandang tepat ke lantai kerana dia tidak sanggup melihat sesiapa lagi ketika ini.

Fakta kes dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan Velu mengangguk mengakui fakta yang dibacakan. Hasratnya Cuma satu, biarlah semuanya  berakhir dengan cepat.

“Apa rayuan kamu?” Suara parau Tuan Hakim menembus tepat ke jantung Velu.

Semalam Velu sudah menghafal beberapa skrip rayuan untuk mengurangkan hukuman di hadapan hakim. Tetapi hari ini semuanya hilang. Velu yang petah bercakap dan selalu menang berbahas di kedai kopi hari ini sedang bersusah payah menyusun ayat untuk menyelamatkan diri di hadapan seorang hakim mahkamah sesyen.

“Errr...Minta dikurangkan denda tuan. Bisnes kurang baik, saya pun dah insaf tuan,” itu sahaja yang mampu Velu keluarkan dari kerongkongnya.

Giliran pegawai pendakwa pula bangun membuat hujahan. Habis diungkitkan oleh pegawai berbadan gempal itu tentang kemalangan-kemalangan lalu yang telah terjadi di kilang Velu dengan dikemukakan dokumen-dokumen pembuktian yang tidak dapat disangkal lagi. Kedegilan Velu untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pegawai JKKP semasa pemeriksaan kilang juga turut ditimbulkan oleh pendakwa gempal itu. Velu mencuba sepositif mungkin untuk mendengar hujah pendakwa muda yang sedang membalunnya kerana dia akui semuanya benar belaka, bukannya sengaja diada-adakan.
.
“Pihak pendakwa memohon mahkamah yang mulia ini menjatuhkan hukuman yang seadil-adilnya kepada OKS,” pegawai pendakwa menutup hujahnya dengan penuh yakin. 
.
Velu berasa amat kecewa dan malu dengan dirinya sendiri sekarang. Bukan setakat dia telah gagal memastikan keselamatan penggunaan mesin power press, bahkan dialah yang telah mengarahkan agar power press di kilangnya diubahsuai semata-mata untuk mengejar produktiviti. 
.
Sebenarnya power press yang dibeli oleh Velu kebanyakannya telah tersedia dengan ciri-ciri keselamatan. Ada yang menggunakan 'two-hand button' dan ada yang menggunakan 'laser beam' sebagai pengadang. Tetapi sistem keselamatan ini sengaja dipintas atau di’by-pass’ oleh Velu agar produktiviti kilangnya bertambah. Bukankah fahaman umum bahawa keselamatan itu menyusahkan dan membuang masa?
.
Sistem pengadang 'two-hand button' memastikan hanya dengan menekan kedua-dua butang, di kiri dan di kanan, barulah power press dapat berfungsi. Butang yang diletakkan di kiri dan kanan dengan jarak lebih kurang setengah depa antara satu sama lain akan memastikan bahawa semasa bahagian atas power press menghentak kebawah, tangan operator yang mengendalikan power press akan sentiasa berada di luar kawasan kerja power press, iaitu di butang kiri dan kanan. Oleh itu, tiada kemungkinan tangan operator akan dihempap oleh mesin itu. 
.
Sistem pengadang 'laser beam' pula menggunakan cahaya laser sebagai pagar di bahagian hentakan power press. Jika garisan cahaya laser ini terganggu atau terputus, power press akan berhenti secara otomatik. Oleh itu, tangan operator mestilah sentiasa berada diluar kawasan hentakan agar tidak mengganggu garisan cahaya laser bagi memastikan power press dapat beroperasi. 
.
Inilah interlocking system yang perlu ada pada sesuatu mesin power press yang diabaikan oleh Velu selama ini. Kerana mahu mengejar masa dan mementingkan keuntungan, Velu telah mengenepikan interlock yang amat diperlukan dalam operasi di kilangnya dan hari ini adalah hari pengajaran kepadanya. Biarlah lambat, asalkan selamat.
.
Di luar mahkamah, Velu menjabat tangan pegawai pendakwa erat-erat sambil menuturkan kata-kata terima kasih. Pegawai pendakwa tersenyum lebar sambil berkata mesra.
.
“Mr. Velu, kita manusia pun ada interlocking system yang mengawal tindakan kita seharian agar sentiasa berbuat baik sesama makhluk. Hati kitalah interlock itu....”
.
Velu rasa dia faham kata-kata itu lalu mengejapkan lagi genggaman salamnya.

***Cerita ini hanyalah fiksyen untuk pengajaran yang tidak bermaksud untuk mengata-cerca mana-mana individu. Jika ada persamaan, ianya adalah kebetulan sahaja.

Thursday 5 January 2012

Penyalahgunaan Dadah Di Tempat Kerja

Penyalahgunaan dadah di kalangan pekerja boleh menyebabkan risiko kemalangan di tempat kerja bertambah, bukan sahaja kepada orang yang menyalahgunakan dadah, tetapi juga kepada orang lain yang sedang bekerja di sekeliling. Ini adalah kerana penyalahgunaan dadah menjejaskan daya kawal diri akibat gangguan pada sistem saraf tunjang seseorang.

Penyalahgunaan dadah memberikan kesan buruk kepada mental, otak dan emosi seseorang. Ia membuatkan seseorang sering berkhayal sehinggakan terkadang melayan blues tidak kira tempat, mengalami tekanan perasaan yang teruk, tidak dapat mengawal pergerakan badan, melemahkan daya pemikiran dan ingatan, merosakkan organ buah pinggang, hati dan jantung, melemahkan percakapan dan pengiraan dan jika dos yang diambil berlebihan, boleh membawa maut.

Badan orang yang menyalahgunakan dadah juga akan susut dengan mata lebam serta berair. Hidung menjadi berhingus dan muntah-muntah. Risiko jangkitan hepatitis dan HIV/AIDS juga tinggi dan boleh meyebabkan kematian.

Majikan mestilah peka dengan pekerja yang mula/sudah terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Tanda-tanda utama penagihan dadah di kalangan pekerja ialah;
1.       Kemerosotan kehadiran di tempat kerja.
2.       Perubahan ke atas sikap dan tingkah-laku.
3.       Kemerosotan rupa paras dan kebersihan.
4.       Hilang selera makan, kurang berat badan mendadak, mata merah dan berair serta kuyu (bukan stim).
5.       Ada parut atau bekas suntikan di lengan.
6.       Mengasingkan diri dari rakan sekerja dan program rekreasi.
7.       Suka meminjam wang atau mencuri barang-barang yang mudah dijual.
8.       Selalu mengunjungi tempat-tempat terpencil seperti stor, belakang tandas atau lain-lain tempat yang tidak digunakan.
9.       Selalu melakukan perbuatan yang tidak selamat semasa menjalankan tugas harian (Mungkin kerana hilang tumpuan).
Penagihan dadah adalah sejenis penyakit walaupun ianya nampak semacam sengaja dicari, oleh itu majikan perlulah membuat langkah pencegahan dengan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan pekerja, kurangkan tekanan kerja yang tidak perlu kepada mereka, memberikan perhatian yang sewajarnya kepada pekerja dengan selalu berbincang dan berpromosi mengenai keburukan dadah. Ciptakan suasana ceria di tempat kerja!

Majikan juga perlu menyediakan ‘POLISI DADAH’ di tempat kerja, menyediakan prosedur untuk aktiviti pencegahan penyalahgunaan dadah, memberi latihan kepada penyelia dan memberi keterangan serta pengetahuan kepada semua pekerja tentang bahaya penyalahgunaan dadah.

Semoga kita semua dan orang yang kita sayangi bebas daripada penyalahgunaan dadah.

HAPUS RASUAH, HABISLAH DADAH.

Sunday 1 January 2012

Housekeeping


Dalam soal keselamatan & kesihatan, housekeeping adalah teramat penting.
Gambar menunjukkan barangan golongan 'homeless' di Ueno Park, Tokyo yang kemas berbungkus pada siang hari.

Saturday 31 December 2011

Persiapan Pihak Sekolah Sebelum Sesi Persekolahan Dibuka

Salam sejahtera.

Sesi persekolahan tahun 2012 akan bermula pada 3 Januari 2012 bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Negeri-negeri lain pada 4 Januari 2012. Sudahkah kita semua bersedia?

Sudahkah kita sebagai ibubapa membuat persediaan untuk anak-anak kita?
Sudahkan anak-anak kita bersedia untuk memasuki alam persekolahan semula?
Sudahkan cikgu-cikgu bersedia untuk melayan karenah anak-anak sekolah semula?

Yang paling penting, sudahkah sekolah bersedia untuk menerima murid-murid semula setelah hampir 2 bulan tidak dihuni?

Di bawah OSHA 1994 setiap sekolah mestilah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan yang dipengerusikan oleh Guru Besar atau Pengetua. Salah satu fungsi utama J/K ini adalah menjalankan pemeriksaan tempat kerja setiap 3 bulan sekali.

Jadi teramat eloklah sebelum sesi persekolah yang mendatang ini dibuka, J/K ini melakukan walk-through inspection. Cari dan lihat apa-apa yang perlu dibaiki dan diganti sebelum anak-anak sekolah yang berbagai ragam dan perangai masuk nanti.
.
  • Periksa samada ada tak pagar sekolah yang telah rosak atau terkopak.
  • Railing pintu pagar utama macam mana? Smooth?
  • Lihat ada tak slab yang menutupi septik tank telah teralih atau terbuka.
  • Tengok ada tak grating yang menutupi longkang yang rosak atau jaringnya yang terlalu besar.
  • Ada tak longkang yang tersumbat.
  • Ada tak tempat pembiakan nyamuk di dalam kawasan sekolah.
  • Gambar hiasan
  • Periksa kelas, ada tak siling yang menunggu masa untuk jatuh macam buah durian.
  • Ada tak pendawaian yang rosak. Suis kipas, lampu. Semua elok?
  • Kerusi yang dah nak patah tu, sudah ganti? Meja?
  • Rumput panjang tu dah mesin ke? Mana tahu ada ular nanti.
  • Tiang gol di padang masih elok ke? Tak berkarat?
  • Tiang gol mudah alih macam mana? Selamat kah?

Last but not least...

  • Sepanjang sekolah tidak perpenghuni, ada tak penghuni lain yang datang menumpang?


Kalau semua Ok, Tuan Pengetua, sekolah kita telah sedia untuk dibuka!

Wednesday 28 December 2011

Harapkan Pagar, Pagar Selamatkan Body

Gambar hiasan
'Pagar' memainkan peranan penting dalam soal keselamatan. Tujuan pemagaran adalah luas dan bergantung kepada hasrat masing-masing. Daripada hasrat untuk menghalang lembu agar tidak memakan anak pokok pisang, menghalang anak kecil merangkak keluar ke jalan raya, menandakan hakmilik seseorang, menjaga kawasan rumah atau sekolah daripada dicerobohi orang luar  sehinggalah kepada hasrat memagar untuk menjaga keselamatan negara.
Gambar hiasan
Di dalam aspek keselamatan pekerjaan, pemagaran atau ‘fencing’  atau ‘guarding’ adalah amat penting dan dituntut. Pagar bukan hanya bertujuan untuk menghalang orang, anggota badan atau objek daripada memasuki ‘kawasan bahaya’, pagar juga bertujuan untuk menghalang objek bahaya daripada keluar daripada ‘kawasan bahaya’ dan mencederakan orang lain di sekitar. Oleh itu sesuatu pagar mestilah cukup ‘kuat’ bertepatan dengan tujuannya direkacipta untuk menghadang apa!
Sebagai contoh, tujuan meletakkan ‘guarding’ pada mata pencanai bukan hanya untuk memastikan tiada anggota badan pekerja yang terkena mata pencanai yang sedang berpusing, tetapi sekiranya mata pencanai tersebut pecah, ‘guarding tersebut juga berupaya untuk menghalang kepingan atau debris mata pencanai tersebut daripada melayang dan mengenai pekerja.
Pagar bukan hanya berbentuk fizikal seperti wire mesh, gril besi, kepingan kayu atau lingkungan tape sahaja. Teknologi  ‘laser beam’ juga boleh dijadikan sebagai pagar untuk mengaktifkan sistem ‘interlock’ sesuatu jentera jika ‘beam’ tersebut diganggu.  Contohnya seperti mesin power press, jika tangan operator mesin power press masih di dalam kawasan bahaya yang di’pagari’ laser beam, power press tersebut tidak akan berfungsi. Oleh itu, risiko kemalangan akan dapat dihindari.
Gambar hiasan
Program ‘Lock-Out, Tag-Out’ (LOTO) juga adalah pagar walaupun ianya lebih bersifat pentadbiran (administrative). LOTO bertujuan untuk menghalang sesuatu jentera dihidupkan apabila penyelenggaraan sedang dijalankan ke atas jentera tersebut. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada pekerja yang sedang menyelenggara satu mesin jika  mesin yang sedang diselenggara itu dihidupkan secara tiba-tiba oleh orang lain.... Dan kemalangan semacam ini telah telah berlaku banyak kali!
Pagar yang baik bukan hanya berupaya melindungi pekerja daripada kawasan bahaya, ia juga mestilah tidak mengganggu kerja yang sedang dijalankan. Pagar juga tidak sepatutnya menjadi suatu bahaya yang lain jika digunakan secara yang sepatutnya.
Oleh itu, kepada para pekerja yang budiman, jangan sesekali mengalih atau membuang pagar yang telah tersedia atau disediakan demi keselamatan anda. Kecuali anda diarahkan untuk menyelenggara mesin tersebut. Namun jangan lupa untuk mempraktikkan LOTO! Biarlah kerja kita lambat sedikit, asalkan kita selamat.
Gambar hiasan


Kepada para majikan pula, janganlah terlalu berkira sehinggakan tidak mahu memasang pagar pada jentera yang sepatutnya. Anda adalah sebenarnya seumpama  ‘pagar’ besar yang menjaga kesejahteraan pekerja-pekerja anda daripada sebarang bencana kemalangan. Janganlah kerana kejahilan dan kekemutan anda, anda pula yang menjadi seperti yang dikatakan bijak pandai dahulu, ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ .

Tuesday 27 December 2011

Musim Persekolahan Bermula : Ekonomik Atau Ergonomik

Musim persekolahan hampir bermula. Ibubapa paling sibuk menyediakan persiapan persekolahan untuk anak-anak tersayang. Baju, seluar, kasut, setokin, beg, alatulis dll.

Masa inilah ramai ibubapa yang termenung mikirin keadaan ekonomi masing-masing. Walaubagaimanapun, demi masa depan anak-anak kita, jangan hanya mikirin hal-hal ekonomik, mikirin juga hal ergonomik.

Buat yang belum tahu, ergonomik ialah bagaimana kita sesuaikan sesuatu tugas atau keadaan dengan keupayaan atau kebolehan seseorang.

Sebenarnya saya mahu ceritakan mengenai beg sekolah anak-anak kita. Kalau tahun lepas, anak kita mahukan beg sekolah Ben10, tahun ini dia mungkin mahukan beg sekolah Angry Birds pula. Walhal beg Ben10 itu masih elok dan boleh dipakai lagi. Inilah keadaan yang umumnya tidak ekonomik bagi kita.

Ben10 atau Angry Birds, sebenarnya yang lebih penting ialah, adakah ianya ergonomik untuk anak-anak kita? Memang dari segi design, beg-beg ini tiada masalah, tetapi apabila telah diisi dengan buku-buku, adakah ianya masih ergonomik?

Berapakah berat yang digalas oleh anak-anak kita untuk ke sekolah sehari-hari? Sesuaikah berat beg tersebut dengan fizikal dan keupayaan mereka? Apalagi ada anak-anak yang terpaksa mendaki tangga sekolah sehingga ke tingkat 3.

Apakah kesan beg yang berat kepada anak-anak kita? 

Di dalam satu kajian online ke atas chiropractors yang dijalankan di Amerika oleh http://www.backpacksafe.com/ mendapati 89% chiropractors telah merawat pesakit (umur 5-18 tahun) yang mengalami sakit belakang, leher atau bahu disebabkan oleh beg galas yang berat.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya, berat beg yang sesuai untuk anak-anak sekolah di bawah 12 tahun ialah 15% daripada berat badan mereka. Oleh itu berat beg yang sesuai untuk anak-anak sekolah rendah yang rata-ratanya hanya seberat 30kg adalah 4.5 kg sahaja.

Yakinlah bahawa peribahasa, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” tidak sekali-kali bermaksud merosakkan postur anak-anak kita yang masih fleksibel dengan beg yang berat.
.

Nota :

Chiropractor adalah seorang profesional berlesen yang mengkhususkan sistem saraf dan dalam keselarasan dan manipulasi tulang belakang.

Bacaan tambahan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...