Premis bagaimanakah yang dikatakan sebagai kilang?
Menurut Akta Kilang dan Jentera 1967, secara ringkas, sesuatu premis itu ditakrifkan sebagai kilang apabila:
- Terdapat premis yang di dalamnya terdapat pekerja yang bekerja;
- Kerja-kerja yang dilakukan adalah untuk tujuan mendapatkan keuntungan.
Apabila sesuatu tempat kerja memenuhi kriteria yang dinyatakan di atas, maka pemilik atau penghuni tempat kerja itu perlulah mendaftarkan tempat kerja tersebut sebagai sebuah kilang dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Pendaftaran tempat kerja boleh dibuat dengan mengisi Borang JKJ 105 yang boleh didapati di pejabat JKKP atau dimuat turun dari Portal JKKP di http://www.dosh.gov.my/.
Untuk makluman, tujuan sesuatu tempat kerja didaftarkan sebagai ‘kilang’ adalah untuk memastikan terdapatnya kawalan terhadap keselamatan dan kesihatan serta kebajikan di tempat kerja tersebut. Oleh itu, walaupun sesuatu tempat kerja itu tidak memenuhi kriteria untuk didaftarkan sebagai sebuah kilang, adalah menjadi tanggungjawab pemilik atau majikan tempat kerja tersebut untuk memastikan bahawa ianya juga dikawal dari segi keselamatan, kesihatan dan kebajikan selaras dengan kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.