Tuesday 20 December 2011

Saya Nak Jadi Boilerman

Sijil Boilerman
“Ayah saya sangat gagah, dia Ironman,” borak seorang kanak-kanak tadika kepada kawannya.
“Papa saya lagi hebat, dia Superman, baju dia semua fit ada huruf  S,” seorang lagi kanak-kanak tak mahu kalah.
“Abah saya laaaagi hebat. Dia Boilerman. Hari-hari dia main dengan api,” sampuk seorang lagi kanak-kanak.
Apakah atau siapakah boilerman?
Boilerman mengikut Bahasa Melayu adalah penjaga dandang stim atau juga dipanggil drebar enjin (stim). Seperti namanya, tugas boilerman adalah menjaga operasi sesebuah dandang stim. Tanpa boilerman, sesebuah dandang tidak boleh beroperasi.
Keperluan boilerman bagi menjaga dandang stim dinyatakan di dalam Akta Kilang dan Jentera 1967 Seksyen 29 yang secara umumnya menyatakan bahawa pengendalian jentera tertentu perlu kepada kakitangan yang kompeten. ‘Kompetensi’ kakitangan ini diperakukan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Bagaimana seseorang mahu mendapatkan kompetensi sebagai boilerman?
Terdapat 2 kompetensi yang dikeluarkan untuk boilerman, iaitu boilerman gred 2 dan boilerman gred 1. Seseorang yang ingin menjadi boilerman gred 1 mestilah berkhidmat sekurang-kurangnya 18 bulan sebagai boilerman gred 2. Syarat tambahan, dandang yang dijaga mestilah mempunyai permukaan memanas (heating surface) melebihi 500 kaki persegi.
Untuk mendapatkan kompetensi sebagai boilerman gred 2, calon mestlilah mengisi Borang JKJ 115 iaitu Permohonan Untuk Mendapatkan Perakuan Kebolehan Sebagai Drebar Enjin. Syarat biasa yang ditetapkan ialah calon mestilah telah lebih daripada 2 tahun berkhidmat sebagai atendan dandang stim atau biasanya dipanggil fireman.
Permohonan akan diproses dan jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, calon akan dipanggil untuk temuduga (ujian lisan) di pejabat JKKP dalam tempoh terdekat. Bayaran peperiksaan sebanyak RM10.00 (Gred 2) perlu dijelas sebelum menduduki ujian.
Jika lulus ujian lisan, rasmilah anda sebagai sebagai seorang boilerman gred 2. Namun anda hanya boleh bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dandang stim yang permukaan memanasnya adalah 500 kaki persegi ke bawah. Jadi, tingkatkan ilmu anda, selepas 18 bulan, pohonlah untuk menjadi boilerman gred 1 pula.
Barang diingat! Boilerman bukan superhero seperti Ironman dan Superman. Jadi bekerjalah secara selamat. Ingatlah orang yang tersayang.
.
Rujukan:
Akta Kilang dan Jentera 1967
Peraturan-Peraturan (Orang-Orang Menjaga) Kilang dan Jentera 1970
Peraturan-Peraturan (Perakuan Kebolehan - Peperiksaan) Kilang dan Jentera 1970

No comments:

Post a Comment

Sebarang pertanyaan dan komen adalah amat dialu-alukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...