Monday 19 December 2011

Sistem 3 Parti Untuk Lebih Selamat dan Sihat

Gambar hiasan
Anda melihat jari manis jiran anda terpotong.

Abang anda memberitahu (sambil batuk-batuk) bahawa majikan di tempat kerjanya enggan menyediakan respirator untuk pekerja yang bekerja di tempat yang berhabuk.

Anda membaca kisah seorang balu bersama 3 anak yatim di akhbar yang merayu bantuan persekolahan kerana mereka kehilangan tempat bergantung setelah ketua keluarga tersebut telah meninggal dunia akibat terjatuh dari bumbung sebuah bangunan yang sedang dibina sebulan lalu.

Kisah-kisah di atas adalah sebahagian daripada kisah masyarakat akibat kemalangan yang berlaku di tempat kerja. Persoalannya sekarang, tanggungjawab siapakah yang memastikan sesuatu tempat kerja itu selamat?

Mengikut undang-undang di Malaysia, memastikan tempat kerja itu selamat dan sihat adalah menjadi tanggungjawab setiap MAJIKAN yang menjalankan perusahaan/aktiviti itu sendiri. Tanggungjawab ini termasuklah kewajipan untuk;
  1. Pengadaan dan penyelenggaraan loji yang selamat.
  2. Pengadaan prosedur kerja yang selamat dan betul.
  3. Pengadaan latihan, penyeliaan, maklumat dan arahan yang berkaitan.
  4. Penyediaan laluan (keluar-masuk) yang selamat.
  5. Pengadaan dan penyediaan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kemudahan kebajikan yang memadai.
Tanggungjawab ini dikongsi dengan PEKERJA yang berkewajipan untuk mematuhi segala arahan, peraturan dan prosedur keselamatan yang telah ditetapkan oleh majikan. Para pekerja perlu memastikan cara kerja yang mereka lakukan tidak membahayakan diri mereka sendiri dan orang lain yang berada di sekeliling mereka. Mereka juga perlu memakai apa-apa alat keselamatan atau alat pelindung diri (Personal Protective Equipment - PPE) yang bersesuaian yang telah dibekalkan oleh majikan.

Manakala, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  (JKKP) pula sebagai agensi kerajaan bertindak untuk;
  1. Menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Malaysia.
  2. Mempromosikan undang-undang KKP, garispanduan KKP, prosedur KKP dan budaya kerja selamat dan sihat.
  3. Membuat dan mengemaskini undang-undang dan standard berkaitan KKP.
Kerjasama 3 parti (tri-partite) ini iaitu MAJIKAN, PEKERJA dan AGENSI KERAJAAN amat perlu bagi merealisasikan Malaysia sebagai negara yang mesra pekerja dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Sekarang tanyalah diri anda sendiri, parti manakah yang anda wakili? Tunggu apa lagi? Jalankan tanggungjawab anda sekarang supaya semua orang nyaman.

Rujukan:
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Seksyen 15 dan 24.

No comments:

Post a Comment

Sebarang pertanyaan dan komen adalah amat dialu-alukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...