Monday, 26 December 2011

Jom Ke Laut! ...Dengan Selamat

Gambar hiasan
Alah biasa tegal biasa.

Laut yang luas terbentang bagaikan kawan kepada mana-mana nelayan. Ombak yang menggulung tinggi di musim tengkujuh umpama mainan PS2 kepada mereka. Namun H2S (Hidrogen Sulfida) masih seumpama ‘predator’ yang akan membaham mereka sebagai mangsa bila-bila masa tanpa menzahirkan diri.

Petak simpanan ikan di dalam bot boleh menjadi tempat membiaknya ‘predator’ H2S ini. Ini adalah kerana di dalam bot, H2S terhasil daripada proses pereputan ikan di dalam kotak simpanan ikan yang tertutup.

H2S tidak berwarna, berbau seperti telur busuk (telor temela kata orang Kelantan) dan ia juga mudah terbakar.  H2S adalah lebih berat daripada udara, ia sentiasa berada di bahagian bawah dan di permukaan air.  H2S juga larut di dalam air dan mudah terbebas ke udara apabila air tersebut dikocak.

H2S adalah sangat beracun dan boleh menyebabkan kematian. Pendedahan  kepada H2S yang melebihi paras 50 ppm (parts of gas per million parts of air by volume) boleh merosakkan system pernafasan dan merosakkan deria bau. Pendedahan yang lebih tinggi boleh menyebabkan koma dan kematian kepada mangsa.

Jika anda berasa tidak selesa pada mata, hidung atau tekak. Berasa pening kepala, loya dan muntah, hilang keseimbangan dan susah bernafas.  Apalagi jika diiringi oleh bau telur busuk, cepat-cepat beredar/keluar dari tempat yang anda sedang berada dan carilah air bersih untuk membasuh muka, mata dan badan anda. Anda sebenarnya telah diserang hendap oleh 'predator' H2S, jadi pergilah dapatkan rawatan dengan segera.

Oleh itu, kepada nelayan kita, sentiasalah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan pengumpulan gas H2S yang mungkin wujud di dalam petak simpanan ikan dengan cara;
1.       Mengepam keluar air kotoran dari petak simpanan ikan dan pada masa yang sama sentiasa menambah dengan air bersih.
2.       Memastikan sistem penyejukan di kotak simpanan ikan berjalan sepanjang masa dan diselenggara secara berkala.
3.       Memastikan sistem pegudaraan yang baik di tempat simpanan ikan.
4.       Sentiasa mengesan kewujudan H2S dengan menggunakan alat pengesan gas.

H2S bukan hanya wujud di petak simpanan ikan, di mana ada proses pereputan, di situlah ‘predator’ ini akan mengintai mangsa secara sengap-sengap. Andai terleka, pasti ia ngap! Na'uzubillah.

Thursday, 22 December 2011

Ten Little Workers

Ten Little Workers, feeling fit and fine
One smoked in a solvent room, then there were nine
Nine Little Workers, thought they would be late
One cut through the railroad yards, then there were eight
 
Eight Little Workers, looking up to heaven
One fell off the loading ramp, then there were seven

Seven Little Workers, putting in hard licks
One mixed booze with gasoline, then there were six


Six Little Workers, glad to be alive,
One forgot his goggles, then there were five


Five Little Workers, standing near the door,
One thought that a wire was dead, then there were four

Four Little Workers, one cut his knee,
Didn’t go get first aid, then there were three


Three Little Workers, with nothing much to do,
One indulge in horseplay, then there were two
 
Two Little Workers, took stairways on the run,
One missed his footing, then there was one


One Little Worker, Thought of the other nine
Began to practice safety, now he’s doing fine

  -Anonymous
   Buletin JKKP Bil. 1/95

Betulkah Malang Tidak Berbau?

Gambar hiasan
.
"MALANG TIDAK BERBAU!"
.
Itu yang selalu diperkatakan orang. Maksudnya, kita tidak dapat mengesan kemalangan sehinggalah ia berlaku.
Memanglah ‘kemalangan’ adalah suatu kejadian yang tidak dijangka (dan tidak dikehendaki), yang boleh menyebabkan kerosakan harta-benda dan kemalangan jiwa dan tubuh badan.
Kemalangan berlaku biasanya akibat daripada 2 perkara iaitu,
1.       Keadaan yang tidak selamat
2.       Perbuatan yang tidak selamat
‘Keadaan yang tidak selamat’ boleh dilihat dan dikenalpasti. Begitu juga ‘perbuatan yang tidak selamat’, ianya juga boleh dilihat dan dikenalpasti.
Keadaan dan perbuatan yang tidak selamat ini dipanggil ‘hazard’ yang perlu dikenalpasti sebelum kita melakukan atau menjalankan sesuatu pekerjaan. ‘Hazard’ inilah yang boleh menjadi  ‘bahaya’ jika tidak dikendalikan secara yang sepatutnya dan boleh mendatangkan kemalangan.
‘Hazard’ perlu ditangani dahulu sebelum kita melakukan sesuatu kerja atau perbuatan. Samada ‘hazard’ ini mahu dibuang terus, atau diganti, atau digunakan kawalan kejuruteraan, ataupun dikawal secara pentadbiran.
Jika kita tidak mampu melakukan perkara yang telah disebutkan di atas, pakailah alat pelindung diri. Dan inilah selemah-lemah kawalan.
‘Malang’ memang tidak berbau.
Tapi syukurlah ‘bahaya’ dapat dilihat.
Jadi, jika anda melihat ‘bahaya’, maka cegahlah segera kerana jika kita sudah menghidu 'kemalangan', ianya sudah terlambat!


Wednesday, 21 December 2011

Ada Kerja Ada Gaji

Gambar hiasan. Sumber Google
Menurut ILO (International Labour Organization), setiap hari dianggarkan 4 billion orang keluar bekerja mencari rezeki. Ada yang ke kilang, ke pejabat, ke kedai, ke tapak pembinaan, ke sekolah, ke stesen, ke disko, ke laut, ke gunung, ke ladang, ke stadium, ke jalanraya dll. Namun, tak semuanya pulang membawa berita gembira, kerana...
  1. Setiap tahun, lebih 1.2 juta orang mati disebabkan kemalangan yang berkaitan dengan kerja.
  2. Setiap bulan, lebih 100,000 mati disebabkan kemalangan di tempat kerja.
  3. Setiap hari, lebih 3,000 orang maut disebabkan kemalangan kerja.
  4. Setiap minit, lebih daripada 2 kematian berlaku disebabkan kemalangan di tempat kerja.
Jadi, beringatlah dan berilah peringatan. Ingatlah orang yang tersayang.

Tuesday, 20 December 2011

Bolehkah Membawa Keluarga Tinggal Dalam Kawasan Pembinaan

Rumahmu, Syurgamu
Bolehkah satu keluarga termasuk isteri dan anak-anak kecil tinggal di rumah kongsi di dalam kawasan pembinaan?

Kawasan pembinaan adalah satu kawasan yang berisiko tinggi. Terdapat hazard yang pelbagai di kawasan ini termasuk persekitarannya yang tidak mesra keluarga. Apalagi jika yang terdedah kepada hazard-hazard ini adalah kanak-kanak yang belum mengerti banyak perkara serta mempunyai perasaan ingin tahu yang teramat.

Pernah terjadi beberapa insiden kemalangan yang melibatkan anak-anak kecil dan isteri pekerja binaan yang tinggal bersama-sama di dalam kawasan pembinaan.

Di dalam Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970, Peraturan 3 jelas menyatakan bahawa TIDAK BOLEH menggunakan mana-mana bahagian kilang atau kawasan kilang (termasuk kawasan pembinaan) sebagai tempat tinggal keluarga (family dwelling).

Realiti hidup, ramai pekerja binaan adalah orang mendatang dari tempat yang jauh. Ramai juga dari negara luar. Ada yang membawa anak-isteri tinggal bersama di rumah kongsi. Mereka bukan orang kaya yang mampu menyewa rumah atau kondo untuk menempatkan anak-anak dan isteri mereka.

Oleh itu majikan perlu memainkan sedikit peranan. Peraturan 3 di atas melarang kawasan pembinaan dijadikan tempat tinggal keluarga kecuali....
  1.  Kawasan tempat tinggal keluarga itu dipagar/diasingkan seeloknya daripada kawasan pembinaan.
  2. Laluan masuk ke kawasan tempat tinggal dan laluan masuk ke kawasan pembinaan dijadikan 2 laluan yang berasingan.
  3. Tiada laluan terus dari tempat tinggal ke kawasan pembinaan.
Semua orang sayangkan anak-isteri mereka sebagaimana kita menyayangi anak-isteri kita. Bertolonganlah di muka bumi ini agar kita semua selamat dan berkat dunia dan akhirat.

Bloody Dumbwaiter. No, I Don't Mean You.

Gambar dumbwaiter. Dari Google
Presiden Amerika yang ke 3, Thomas Jefferson adalah pengguna terawal dumbwaiter, mungkin pada awal kurun ke 19. Adaorang mengatakan bahawa beliau juga adalah pencipta dumbwaiter tersebut. Dumbwaiter digunakan di rumah beliau di kawasan pergunungan di Monticello, Viginia. Selain memudahkan kerja-kerja mengkut makanan dari dapur, Thomas Jefferson juga menggunakan dumbwaiter untuk mengurangkan bilangan pelayan (waiter) di sekeliling meja, oleh itu tetamu yang sedang makan dapat menikmati pemandangan pergunungan yang cantik semasa makan.
Apakah dumbwaiter?
Dumbwaiter didefinisikan sebagai  ‘a freight elevator or lift between building floors’. Komponen dumbwaiter termasuk lift shaft, car (sangkar), wireropes, pulley atau sheave dan motor. Ianya adalah jentera untuk mengangkat barang (biasanya makanan) dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain. Ianya semacam lif penumpang, tetapi jauh lebih kecil dan tidak dibenarkan untuk mengangkat manusia atau haiwan.
Dumbwaiter biasanya digunakan di restoran yang bertingkat atau hotel atau istana untuk mengangkat makanan ke tingkat lain atau ke dewan makan.
Laporan daripada akhbar harian baru-baru ini
Di Malaysia, penggunaan dumbwaiter mestilah mendapatkan kelulusan daripada JKKP kerana ianya tergolong di dalam kategori mesin angkat. Dumbwaiter perlukan certificate of fitness (CF) yang sah dan perlu diselenggara secara berkala oleh firma kompeten yang diiktiraf JKKP. Ini adalah untuk memastikan dumbwaiter dilengkapi peranti keselamatan dan selamat digunakan.
Masih terdapat dumbwaiter yang dipasang dan digunakan tanpa mendapat kelulusan rekabentuk daripada JKKP. Penggunaan dumbwaiter tanpa peranti keselamatan adalah merbahaya dan mengundang kemalangan. Ia juga adalah salah dari segi undang-undang Malaysia dan boleh dikenakan tindakan mahkamah di bawah kesalahan berikut;
1.       Akta Kilang dan Jentera 1967. Seksyen 19 iaitu menggunakan jentera tanpa CF yang sah. Denda maksimum RM50,000.00 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
2.       Akta Kilang dan Jentera 1967. Seksyen 36(1) iaitu memasang jentera yang memerlukan perakuan kelayakan (CF) tanpa kebenaran JKKP. Denda maksimum RM100,000.00 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu sementara peluang dan budi bicara masih terbuka, bertindaklah segera demi keselamatan semua. Dumbwaiter.... Believe me, it’s really dumb.

Saya Nak Jadi Boilerman

Sijil Boilerman
“Ayah saya sangat gagah, dia Ironman,” borak seorang kanak-kanak tadika kepada kawannya.
“Papa saya lagi hebat, dia Superman, baju dia semua fit ada huruf  S,” seorang lagi kanak-kanak tak mahu kalah.
“Abah saya laaaagi hebat. Dia Boilerman. Hari-hari dia main dengan api,” sampuk seorang lagi kanak-kanak.
Apakah atau siapakah boilerman?
Boilerman mengikut Bahasa Melayu adalah penjaga dandang stim atau juga dipanggil drebar enjin (stim). Seperti namanya, tugas boilerman adalah menjaga operasi sesebuah dandang stim. Tanpa boilerman, sesebuah dandang tidak boleh beroperasi.
Keperluan boilerman bagi menjaga dandang stim dinyatakan di dalam Akta Kilang dan Jentera 1967 Seksyen 29 yang secara umumnya menyatakan bahawa pengendalian jentera tertentu perlu kepada kakitangan yang kompeten. ‘Kompetensi’ kakitangan ini diperakukan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Bagaimana seseorang mahu mendapatkan kompetensi sebagai boilerman?
Terdapat 2 kompetensi yang dikeluarkan untuk boilerman, iaitu boilerman gred 2 dan boilerman gred 1. Seseorang yang ingin menjadi boilerman gred 1 mestilah berkhidmat sekurang-kurangnya 18 bulan sebagai boilerman gred 2. Syarat tambahan, dandang yang dijaga mestilah mempunyai permukaan memanas (heating surface) melebihi 500 kaki persegi.
Untuk mendapatkan kompetensi sebagai boilerman gred 2, calon mestlilah mengisi Borang JKJ 115 iaitu Permohonan Untuk Mendapatkan Perakuan Kebolehan Sebagai Drebar Enjin. Syarat biasa yang ditetapkan ialah calon mestilah telah lebih daripada 2 tahun berkhidmat sebagai atendan dandang stim atau biasanya dipanggil fireman.
Permohonan akan diproses dan jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, calon akan dipanggil untuk temuduga (ujian lisan) di pejabat JKKP dalam tempoh terdekat. Bayaran peperiksaan sebanyak RM10.00 (Gred 2) perlu dijelas sebelum menduduki ujian.
Jika lulus ujian lisan, rasmilah anda sebagai sebagai seorang boilerman gred 2. Namun anda hanya boleh bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dandang stim yang permukaan memanasnya adalah 500 kaki persegi ke bawah. Jadi, tingkatkan ilmu anda, selepas 18 bulan, pohonlah untuk menjadi boilerman gred 1 pula.
Barang diingat! Boilerman bukan superhero seperti Ironman dan Superman. Jadi bekerjalah secara selamat. Ingatlah orang yang tersayang.
.
Rujukan:
Akta Kilang dan Jentera 1967
Peraturan-Peraturan (Orang-Orang Menjaga) Kilang dan Jentera 1970
Peraturan-Peraturan (Perakuan Kebolehan - Peperiksaan) Kilang dan Jentera 1970
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...