Monday 26 December 2011

Jom Ke Laut! ...Dengan Selamat

Gambar hiasan
Alah biasa tegal biasa.

Laut yang luas terbentang bagaikan kawan kepada mana-mana nelayan. Ombak yang menggulung tinggi di musim tengkujuh umpama mainan PS2 kepada mereka. Namun H2S (Hidrogen Sulfida) masih seumpama ‘predator’ yang akan membaham mereka sebagai mangsa bila-bila masa tanpa menzahirkan diri.

Petak simpanan ikan di dalam bot boleh menjadi tempat membiaknya ‘predator’ H2S ini. Ini adalah kerana di dalam bot, H2S terhasil daripada proses pereputan ikan di dalam kotak simpanan ikan yang tertutup.

H2S tidak berwarna, berbau seperti telur busuk (telor temela kata orang Kelantan) dan ia juga mudah terbakar.  H2S adalah lebih berat daripada udara, ia sentiasa berada di bahagian bawah dan di permukaan air.  H2S juga larut di dalam air dan mudah terbebas ke udara apabila air tersebut dikocak.

H2S adalah sangat beracun dan boleh menyebabkan kematian. Pendedahan  kepada H2S yang melebihi paras 50 ppm (parts of gas per million parts of air by volume) boleh merosakkan system pernafasan dan merosakkan deria bau. Pendedahan yang lebih tinggi boleh menyebabkan koma dan kematian kepada mangsa.

Jika anda berasa tidak selesa pada mata, hidung atau tekak. Berasa pening kepala, loya dan muntah, hilang keseimbangan dan susah bernafas.  Apalagi jika diiringi oleh bau telur busuk, cepat-cepat beredar/keluar dari tempat yang anda sedang berada dan carilah air bersih untuk membasuh muka, mata dan badan anda. Anda sebenarnya telah diserang hendap oleh 'predator' H2S, jadi pergilah dapatkan rawatan dengan segera.

Oleh itu, kepada nelayan kita, sentiasalah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan pengumpulan gas H2S yang mungkin wujud di dalam petak simpanan ikan dengan cara;
1.       Mengepam keluar air kotoran dari petak simpanan ikan dan pada masa yang sama sentiasa menambah dengan air bersih.
2.       Memastikan sistem penyejukan di kotak simpanan ikan berjalan sepanjang masa dan diselenggara secara berkala.
3.       Memastikan sistem pegudaraan yang baik di tempat simpanan ikan.
4.       Sentiasa mengesan kewujudan H2S dengan menggunakan alat pengesan gas.

H2S bukan hanya wujud di petak simpanan ikan, di mana ada proses pereputan, di situlah ‘predator’ ini akan mengintai mangsa secara sengap-sengap. Andai terleka, pasti ia ngap! Na'uzubillah.

No comments:

Post a Comment

Sebarang pertanyaan dan komen adalah amat dialu-alukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...