Wednesday 28 December 2011

Harapkan Pagar, Pagar Selamatkan Body

Gambar hiasan
'Pagar' memainkan peranan penting dalam soal keselamatan. Tujuan pemagaran adalah luas dan bergantung kepada hasrat masing-masing. Daripada hasrat untuk menghalang lembu agar tidak memakan anak pokok pisang, menghalang anak kecil merangkak keluar ke jalan raya, menandakan hakmilik seseorang, menjaga kawasan rumah atau sekolah daripada dicerobohi orang luar  sehinggalah kepada hasrat memagar untuk menjaga keselamatan negara.
Gambar hiasan
Di dalam aspek keselamatan pekerjaan, pemagaran atau ‘fencing’  atau ‘guarding’ adalah amat penting dan dituntut. Pagar bukan hanya bertujuan untuk menghalang orang, anggota badan atau objek daripada memasuki ‘kawasan bahaya’, pagar juga bertujuan untuk menghalang objek bahaya daripada keluar daripada ‘kawasan bahaya’ dan mencederakan orang lain di sekitar. Oleh itu sesuatu pagar mestilah cukup ‘kuat’ bertepatan dengan tujuannya direkacipta untuk menghadang apa!
Sebagai contoh, tujuan meletakkan ‘guarding’ pada mata pencanai bukan hanya untuk memastikan tiada anggota badan pekerja yang terkena mata pencanai yang sedang berpusing, tetapi sekiranya mata pencanai tersebut pecah, ‘guarding tersebut juga berupaya untuk menghalang kepingan atau debris mata pencanai tersebut daripada melayang dan mengenai pekerja.
Pagar bukan hanya berbentuk fizikal seperti wire mesh, gril besi, kepingan kayu atau lingkungan tape sahaja. Teknologi  ‘laser beam’ juga boleh dijadikan sebagai pagar untuk mengaktifkan sistem ‘interlock’ sesuatu jentera jika ‘beam’ tersebut diganggu.  Contohnya seperti mesin power press, jika tangan operator mesin power press masih di dalam kawasan bahaya yang di’pagari’ laser beam, power press tersebut tidak akan berfungsi. Oleh itu, risiko kemalangan akan dapat dihindari.
Gambar hiasan
Program ‘Lock-Out, Tag-Out’ (LOTO) juga adalah pagar walaupun ianya lebih bersifat pentadbiran (administrative). LOTO bertujuan untuk menghalang sesuatu jentera dihidupkan apabila penyelenggaraan sedang dijalankan ke atas jentera tersebut. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada pekerja yang sedang menyelenggara satu mesin jika  mesin yang sedang diselenggara itu dihidupkan secara tiba-tiba oleh orang lain.... Dan kemalangan semacam ini telah telah berlaku banyak kali!
Pagar yang baik bukan hanya berupaya melindungi pekerja daripada kawasan bahaya, ia juga mestilah tidak mengganggu kerja yang sedang dijalankan. Pagar juga tidak sepatutnya menjadi suatu bahaya yang lain jika digunakan secara yang sepatutnya.
Oleh itu, kepada para pekerja yang budiman, jangan sesekali mengalih atau membuang pagar yang telah tersedia atau disediakan demi keselamatan anda. Kecuali anda diarahkan untuk menyelenggara mesin tersebut. Namun jangan lupa untuk mempraktikkan LOTO! Biarlah kerja kita lambat sedikit, asalkan kita selamat.
Gambar hiasan


Kepada para majikan pula, janganlah terlalu berkira sehinggakan tidak mahu memasang pagar pada jentera yang sepatutnya. Anda adalah sebenarnya seumpama  ‘pagar’ besar yang menjaga kesejahteraan pekerja-pekerja anda daripada sebarang bencana kemalangan. Janganlah kerana kejahilan dan kekemutan anda, anda pula yang menjadi seperti yang dikatakan bijak pandai dahulu, ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ .

2 comments:

Sebarang pertanyaan dan komen adalah amat dialu-alukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...