Friday 9 December 2011

Kilang Atau Bukan Kilang

Premis bagaimanakah yang dikatakan sebagai kilang?

Menurut Akta Kilang dan Jentera 1967, secara ringkas, sesuatu premis itu ditakrifkan sebagai kilang apabila:

  1. Terdapat premis yang di dalamnya terdapat pekerja yang bekerja;
  2. Kerja-kerja yang dilakukan adalah untuk tujuan mendapatkan keuntungan.

Apabila sesuatu tempat kerja memenuhi kriteria yang dinyatakan di atas, maka pemilik atau penghuni tempat kerja itu perlulah mendaftarkan tempat kerja tersebut sebagai sebuah kilang dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Pendaftaran tempat kerja boleh dibuat dengan mengisi Borang JKJ 105 yang boleh didapati di pejabat JKKP atau dimuat turun dari Portal JKKP di http://www.dosh.gov.my/.

Untuk makluman, tujuan sesuatu tempat kerja didaftarkan sebagai ‘kilang’ adalah untuk memastikan terdapatnya kawalan terhadap keselamatan dan kesihatan serta kebajikan di tempat kerja tersebut. Oleh itu, walaupun sesuatu tempat kerja itu tidak memenuhi kriteria untuk didaftarkan sebagai sebuah kilang, adalah menjadi tanggungjawab pemilik atau majikan tempat kerja tersebut untuk memastikan bahawa ianya juga dikawal dari segi keselamatan, kesihatan dan kebajikan selaras dengan kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

4 comments:

  1. Untuk makluman tuan, saya merupakan pelajar UPM mengambil jurusan keselamatan persekitaran. Adakah peluang pekerjaan untuk siswa/siswi seperti saya terbuka luas dalam aspek pekerjaan nanti.
    Mohon maklumat lanjut.

    ReplyDelete
  2. Saya telah memuatturun borang JKJ105 seperti yang dinyatakan di atas untuk mendaftarkan tempat kerja saya.
    1. Adakah borang tersebut perlu dihantar (datang pejabat) atau cukup sekadar diemailkan kepada JKKP?
    2. Ada tak sebarang dokumen sokongan yang perlu dihantar bersama-sama borang tersebut (cth : pendaftaran syarikat, carta organisasi atau lain-lain)

    ReplyDelete
  3. Saudari Ayu,
    Terima kasih kerana bertanya, maaf atas kelewatan respon.
    Sebelum menjawab pertanyaan saudari, berikut adalah senarai pekerjaan di Malaysia yang perlu mendapat sijil kompetensi daripada JKKP, dan semestinya memerlukan pengetahuan tentang KKP disamping pengetahuan teknikal yang berkaitan.

    Jurutera/ drebar stim, jurutera/ drebar enjin pembakaran dalam, orang kompeten lif, operator kren, pengendali perancah, orang yang bertanggungjawab mesin angkat (gondola, goods hoist, kren menara), orang yang kompeten pemonitoran bunyi bising, ketua kapal korek, site safety supervisor, safety abd health officer (SHO), doktor kesihatan pekerjaan, pengapit (assessor) penaksiran bahan kimia berbahaya kepada kesihatan, juruteknik higien, orang yang kompeten pemasangan bahaya besar(major hazard installation), authorised gas tester, entry supervisor (confined space), assessor kualiti udara dalaman.

    Sebenarnya, semua kerja tak kira apa sahaja memerlukan pekerjanya mempunyai pengetahuan tentang aspek KKP. Aspek KKP ini seringkali menjadi nilai tambah kepada calon semasa menghadapi temuduga kerja bagi majikan yang perihatin tentang KKP tanpa mengira jenis industri.

    Berkaitan kursus keselamatan persekitaran yang saudari sebutkan, bagi saya ianya adalah satu cabang ilmu yang penting untuk setiap tempat kerja. Namun, dalam cabaran dan persaingan kerja hari ini, selain daripada pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) & site safety supervisor saudari mungkin perlu mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang lain bagi mendapatkan kompetensi-kompetensi yang dinyatakan di atas sebagai kerjaya.
    Harap membantu. Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Saudara Taufiqul Hakim,
    Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
    1. Berkaitan borang JKJ 105 yang telah siap di isi, saudara dinasihatkan agar menghantarnya melalui pos kerana borang tersebut perlu ditandatangani oleh pemilik premis.
    2. Berkaitan dengan dokumen sokongan, untuk pendaftaran kilang baru, saudara perlu lampirkan,
    a. 1 set plan bangunan, pandangan sisi dan hadapan.
    b. 2 set plan susun atur jentera (atau cadangan susun atur).
    c. Jika terdapat pemasangan jentera yang memerlukan sijil perakuan kelayakan (CF), lampirkan JKJ 127 (sijil ujian hidrostatik) bagi pengandung tekanan tak berapi atau surat kelulusan rekabentuk bagi mesin angkat dan dandang.
    d. Process flow-chart untuk kerja-kerja yang dijalankan.
    e. Surat kebenaran menjalankan perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan.
    f. Pelan lokasi kilang.
    g. Surat iringan amat digalakkan.

    Terima kasih.

    ReplyDelete

Sebarang pertanyaan dan komen adalah amat dialu-alukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...